PIBG SEBARU

"SEBARU MEMBURU KEGEMILANGAN"


"Behind the parents stands the school, and behind the teacher the home"

- APJ Abdul Kalam (1913 - 2015)


VISI


“Membentuk komuniti sekolah yang progresif, inklusif, dan harmoni bagi melahirkan pelajar yang cemerlang, berakhlak mulia, dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.”


MISI


a. Memperkasakan hubungan erat antara ibu bapa, guru, dan masyarakat untuk meningkatkan kecemerlangan akademik dan kokurikulum.


b. Menyediakan sokongan dan prasarana bagi meningkatkan kesejahteraan dan kualiti pendidikan di sekolah.


c. Menggalakkan penyertaan aktif ibu bapa dalam program dan aktiviti sekolah untuk membina persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif.


d. Membantu pembangunan sahsiah dan disiplin pelajar dengan menganjurkan aktiviti atau program yang menyumbang kepada pembangunan karakter.



KATA ALUAN YDP


Assalamualaikum wrth Salam Malaysia Madani


Selamat datang ke laman sesawang rasmi Persatuan Ibu Bapa & Guru SMK Bandar Baru Sungai Buloh (PIBG SEBARU).


Melangkah ke tahun 2025, PIBG SEBARU beriltizam untuk terus memainkan peranannya dalam menyokong pihak pentadbiran sekolah dalam usaha mencapai kecemerlangan pendidikan dan sahsiah anak-anak SEBARU. Terima kasih kepada semua pihak, terutama sekali para pentadbir dan guru-guru di bawah kepimpinan Pengetua SEBARU, YBrs. Puan Fatimah Binti Resat, atas perjuangan tanpa mengerti penat-lelah dalam meningkatkan kualiti pendidikan, kebajikan anak-anak pelajar, dan pembangunan sekolah.  


PIBG bukan sekadar penghubung ibu bapa dan sekolah, tetapi juga sahabat strategik dalam memastikan anak-anak pelajar mendapat pendidikan terbaik dalam persekitaran yang kondusif. Dalam menghadapi cabaran pendidikan dan zaman yang kian mencabar, PIBG SEBARU akan terus komited merencana dan menjalankan pelbagai inisiatif bagi memperkasakan anak-anak pelajar dan membantu memajukan sekolah. Semoga ibu bapa dan guru terus bekerjasama demi kejayaan warga SMK Bandar Baru Sungai Buloh. Terima kasih.


"SEBARU MEMBURU KEGEMILANGAN"

 

Muhd. Nur Iman Ramli

Yang Dipertua, PIBG SEBARU 2025/2026

PIBG secara umumnya berperanan sebagai penghubung antara sekolah, ibu bapa, dan masyarakat dalam meningkatkan kualiti pendidikan, kemenjadian dan kebajikan pelajar. Selain menjadi wadah bagi ibu bapa menyuarakan pandangan, PIBG turut bekerjasama erat dengan pihak sekolah dalam mencapai kejayaan akademik dan kokurikulum. 


Melalui pelbagai inisiatif yang direncanakan dan dijalankan secara sepakat dengan pihak sekolah, PIBG SEBARU bertekad untuk terus menyumbang kepada pembangunan akademik, kokurikulum, serta penambahbaikan kemudahan di sekolah. Lebih daripada sekadar sahabat strategik, hubungan akrab antara PIBG dan pentadbir SEBARU mewujudkan suasana kekeluargaan yang erat dan kukuh. Hal ini menyumbang kepada produktiviti dan keberkesanan PIBG SEBARU dalam melaksanakan tugas dan amanah yang diberi.


AJK PIBG SEBARU 2025/2026

Ahli-ahli jawatankuasa (AJK) PIBG SEBARU yang terdiri daripada ibu bapa dan guru-guru adalah tonggak utama yang berganding bahu menjalankan tugas masing-masing demi mencapai visi dan misi persatuan dengan gigih dan ikhlas.


Klik Senarai Nama AJK


Biro-Biro PIBG SEBARU 2025/2026

Fungsi-fungsi biro dalam PIBG adalah untuk memastikan pelaksanaan aktiviti dan matlamat persatuan dapat dijalankan secara teratur, tersusun dan berkesan. Setiap biro ditubuhkan dengan tanggungjawab khusus, yang berperanan merancang, melaksana, dan memantau program-program yang berkaitan.


SENARAI BIRO-BIRO


1. BIRO TAJAAN & DANA

Ketua: Pn. Nik Haminah Nik Mustaffa (NYDP)

2. BIRO AKADEMIK

Ketua: Pn. Tulasimani A/P Muniaswaran

3. BIRO HAL EHWAL MURID:

Ketua: En. Anasamsul Nasarudin

4. BIRO KOKURIKULUM

Ketua: Pn. Rosnah Siddik

5. BIRO KEBAJIKAN

Ketua: En. Mohd. Sazali Mokhtar

6. BIRO PEMBANGUNAN & INFRASTRUKTUR

Ketua: En. Zulkifli Yaakob


Logo Rasmi PIBG SEBARU

Logo amat penting bagi sesebuah persatuan kerana ia menjadi lambang identiti dan jati diri organisasi, mewujudkan pengenalan yang mudah diingati oleh ahli dan masyarakat umum, serta mencerminkan nilai, visi, dan matlamat persatuan. Logo yang jelas dan bermakna mampu memperkukuh imej profesional dan meningkatkan kepercayaan terhadap persatuan.


Klik Untuk Maklumat Logo


‌SMKBBSB


Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sungai Buloh (SMKBBSB atau SEBARU) terletak di sempadan antara daerah Petaling dan Gombak. Dari segi pentadbiran, sekolah ini berada di bawah kawasan Majlis Daerah Petaling, namun urusan pendidikan dan pengelolaannya dikendalikan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Gombak.

 

Pembinaan SMK BBSB dibiayai oleh Bank Dunia dan bermula pada awal tahun 1992. Sekolah ini mula beroperasi pada 1 Disember 1993 dengan kemasukan seramai 980 orang pelajar, yang ditempatkan dalam kelas Tingkatan Peralihan, Tingkatan 1, 2, 3, dan 4. Pada ketika itu, tenaga pengajarnya terdiri daripada 44 orang guru di bawah pimpinan seorang pengetua.

 

Pada tahun 1998, SMK BBSB telah dinaik taraf daripada gred B ke gred A. Sejak peningkatan ini, sekolah terus mencatat pelbagai kejayaan dalam bidang kurikulum dan kokurikulum. Pencapaian ini adalah hasil daripada dedikasi serta komitmen berterusan oleh para guru, pelajar, dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), yang bersama-sama berusaha meningkatkan kecemerlangan sekolah.

 

Setelah hampir 33 tahun beroperasi, kini SMKBBSB diterajui YBrs. Puan Fatimah Binti Resat dan barisan pentadbirnya yang berdedikasi. SMKBBSB hari ini berkembang sebagai sebuah institusi pendidikan yang berdaya saing tinggi, baik dalam aspek pencapaian akademik mahu pun ko-kurikulum. Semoga SMKBBSB akan terus berjaya melahirkan generasi pelajar yang berwawasan, dan berkarisma dalam memimpin serta menyumbang kepada pembangunan negara.


"SEBARU MEMBURU KEGEMILANGAN"

PIBKS (Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta) &
KSIB (Kumpulan Sokongan Ibu Bapa)

PIBG berperanan mengukuhkan kerjasama antara ibu bapa dan guru dalam meningkatkan kualiti pendidikan. Sejajar dengan aspirasi PIBG SEBARU, yang menekankan keterlibatan menyeluruh ibu bapa dan masyarakat dalam pendidikan, dua komponen utama telah diperkenalkan, iaitu PIBKS (Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta) dan KSIB (Kumpulan Sokongan Ibu Bapa).


PIBKS berfungsi sebagai penghubung antara komuniti dan sekolah, memperkukuh jaringan dengan pemimpin masyarakat, NGO, dan sektor swasta, menyokong pembangunan infrastruktur sekolah, meningkatkan kesedaran pendidikan, serta menyediakan sumber tambahan bagi mempertingkatkan mutu pembelajaran.


KSIB pula memperkasa ibu bapa dalam membantu anak-anak melalui sokongan akademik, pembangunan sahsiah, jaringan ibu bapa, serta program intervensi untuk menangani cabaran pembelajaran.


Selari dengan PIBG SEBARU, kewujudan PIBKS dan KSIB memperkukuh penglibatan ibu bapa dan komuniti dalam pendidikan, bukan sahaja untuk meningkatkan prestasi akademik pelajar, tetapi juga membentuk ekosistem pendidikan yang lebih inklusif, progresif, dan kondusif.

JOM SERTAI KAMI!

Muat turun borang keahlian di bawah:


PIBKS (PDF)

KSIB (PDF)




PROJEK KHAS

1. Kumpulan Dikir Barat 'Arjuna Kencana' (Bermula 2023)

 

PIBG SEBARU komited dalam memperkayakan pengalaman pendidikan pelajar, termasuk memelihara seni budaya. Salah satu inisiatif khas PIBG ialah penubuhan kumpulan dikir barat Arjuna Kencana pada tahun 2023, yang bertujuan menggalakkan pelajar mendalami seni tradisional. Ditubuhkan oleh Cikgu Malik Ismail, yang turut menggalas peranan guru penasihat, Arjuna Kencana menarik perhatian YDP PIBG, En. Muhd. Nur Iman Ramli yang mengimpikan kumpulan dikir barat remaja itu menjadi antara kumpulan dikir paling disegani di negeri Selangor dan negara amnya.

 

Luar biasa sekali, sungguh pun masih berusia setahun jagung, Arjuna Kencana telah mencapai kejayaan membanggakan, antaranya menjadi Naib Juara dalam Pertandingan Dikir Barat anjuran Karangkraf pada 26 Julai 2024, dan tempat keempat dalam Pertandingan Dikir Barat Merdeka 2024 di Gateway@KLIA2, Sepang, Selangor, pada 17-18 Ogos 2024. Pencapaian ini lebih bermakna kerana mereka bersaing dengan kumpulan profesional yang pernah bertanding di peringkat nasional.

 

Komitmen dan sokongan padu Puan Pengetua, YBrs. Puan Fatimah Resat, barisan pentadbir, guru penasihat, serta ibu bapa telah memainkan peranan besar dalam membantu perkembangan Arjuna Kencana. Sebagai projek khas PIBG SEBARU, kumpulan ini bakal terus berkembang dan mencipta lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.

2. Ramadan Free Market (Bermula 2024)

 

Warga SMK Bandar Baru Sg. Buloh (SEBARU) menyaksikan kemeriahan Ramadan Free Market @ SEBARU 2024, satu inisiatif khas anjuran PIBG SEBARU bagi membantu meringankan beban kewangan ibu bapa serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan guru, pelajar, dan ibu bapa. Projek khas yang berlangsung pada 16 Mac 2024 ini merupakan idea salah seorang ahli jawatankuasa PIBG SEBARU, Puan Nik Haminah Nik Mustaffa, yang melihat keperluan untuk mengadakan program berbentuk kebajikan dengan konsep sumbangan dan pemberian percuma.

 

Matlamat utama program ini adalah untuk:

a. Meringankan beban kewangan ibu bapa.

b. Memupuk amalan suka menderma dalam kalangan warga sekolah.

c. Menggalakkan kitar semula dan menjaga alam sekitar.

d. Mengeratkan hubungan silaturahim antara ibu bapa, guru-guru, dan pelajar.

 

Barang-barang yang ditawarkan secara percuma merupakan hasil sumbangan ibu bapa, guru-guru, dan pelajar-pelajar sendiri. Program ini hanya menerima barangan terpakai yang masih elok serta barang baharu yang boleh dimanfaatkan oleh penerima. Para guru dan pelajar yang bertanggungjawab dalam pengumpulan serta persediaan program memainkan peranan besar dalam memastikan kelancaran acara.

 

Semasa program berlangsung, hampir 80% barangan seperti pakaian seragam sekolah, pakaian unit uniform, alat tulis, pinggan mangkuk, baju t-shirt, baju kurung, kasut, tudung pelbagai jenis, stroller bayi dan pelbagai barangan lain habis diambil oleh para pengunjung. Walaupun tiada urusan jual beli atau tawar-menawar, suasana tetap meriah dengan kehadiran ramai ibu bapa dari pelbagai kaum yang turut menyokong program ini.

3. Raya Free Market (Bermula 2024)

 

Sebagai kesinambungan kepada kejayaan Ramadan Free Market, PIBG SEBARU sekali lagi menganjurkan program Raya Free Market pada 30 Mac 2024 di Dewan Mestika SMK Bandar Baru Sg. Buloh (dan pada 22 Mac 2025, di Kantin, SMKBBSB). Dengan kerjasama erat antara PIBG, guru-guru, ibu bapa, serta pelajar, program ini berjaya menarik kehadiran pengunjung yang lebih besar berbanding Ramadan Free Market sebelumnya. 

 

Seperti edisi sebelumnya, pelbagai barangan seperti pakaian raya, kasut, beg tangan, aksesori, serta barangan keperluan lain diberikan secara percuma kepada yang memerlukan. Program ini bukan sahaja membantu keluarga kurang berkemampuan membuat persiapan menyambut Aidilfitri, tetapi juga mengeratkan lagi hubungan sesama warga sekolah.

4. Projek Wakaf Water Cooler (2024)


Pada 18 November 2024, Projek Wakaf Water Cooler PIBG SEBARU berjaya direalisasikan dengan pemasangan lima unit water cooler hasil sumbangan ikhlas para ibu bapa, guru-guru, serta alumni SEBARU. Inisiatif ini bertujuan untuk menyediakan kemudahan air bersih dan sejuk kepada lebih 2,500 warga SEBARU, terutama murid-murid yang kurang berkemampuan. Projek wakaf ini mengambil inspirasi daripada amalan wakaf Saidina Uthman bin Affan RA, yang mewakafkan Telaga Rumah bagi manfaat masyarakat di Madinah. 


Kejayaan projek ini tidak akan dapat dicapai tanpa sokongan luar biasa daripada semua penyumbang yang sanggup menyumbangkan tenaga, keringat, dan wang ringgit demi kesejahteraan anak-anak SEBARU. PIBG SEBARU dengan penuh rasa syukur ingin merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua yang telah menjayakan inisiatif ini, terutama kepada Puan Pengetua SEBARU, barisan pentadbir dan rakan-rakan guru yang terlibat.

5. Lain-Lain Projek Khas (2025)


a. Satu (1) Unit Kipas di Kantin SMKBBSB: 

PIBG SEBARU mendengar dan prihatin dengan rungutan anak-anak murid yang terasa bahang semasa berada di kantin, terutamanya ketika cuaca panas. Kipas ini dibeli dengan wang sumbangan oleh ibu bapa yang diluncurkan semasa Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PIBG SEBARU dalam bulan Ramadan 2025 lalu, dengan jumlah kutipan keseluruhan sebanyak RM380. Kami di PIBG SEBARU merakamkan sekalung terima kasih kepada ibu bapa dan penjaga budiman, yang telah menyumbang kepada tabung pembelian kipas ini. Terima kasih kepada NYDP PIBG SEBARU, Puan Nik Haminah Nik Mustaffa yang mencetuskan idea tabung sumbangan kipas ini. Terima kasih juga kepada Puan Pengetua dan pihak pentadbir sekolah atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan usaha ini. Semoga dengan sumbangan bermakna ini, ia sedikit sebanyak mampu memberikan keselesaan kepada anak-anak kita di Kantin SEBARU.

Hakcipta (C) PIBG SEBARU 2025